Thursday, February 15, 2007

Pelahiran

Apakah itu 'Pelahiran'

Pada minggu-minggu terakhir kehamilan, berlaku beberapa perubahan baru yang menandakan kelahiran yang bakal anda hadapi. Sebagai contoh, anda dapat merasakan bayi berada lebih bawah di bahagian abdomen dan orang mungkin menegur yang bayi anda telah "menurun". Keadaan ini dikenali sebagai "keringanan" dan ia bermaksud bahawa kepala bayi telah masuk ke bahagian bertulang di pelvis anda. Kadangkala ia berlaku dengan cepat dan anda akan mendapati secara tiba-tiba lebih mudah untuk bernafas. Kadangkala proses "keringanan" tidak akan berlaku sehinggalah selepas proses pelahiran bermula. Pelahiran atau "labour" bermaksud kerja. Pada masa ini, anda perlu bekerja keras untuk menolak bayi keluar dari rahim anda ke dunia. Ia mungkin merupakan salah satu usaha paling sukar yang pernah anda lakukan. Kini ia perlu meregang cukup luas supaya bayi dapat melaluinya. Rahim akan mengecut dan memaksa pangkal rahim membuka lebih lebar

Tanda-tanda pelahiran yang biasa

Permulaan proses pelahiran bagi seseorang adalah suatu fenomena yang khusus. Sesetengah wanita tidak menyedari bahawa mereka sedang mengalami tahap pertama pelahiran dan menyalah anggapnya sebagai kembung, pedih ulu hati, sakit belakang, atau ketidakhadaman. Terdapat tiga tanda bermulanya pelahiran. Ia tidak semestinya berlaku mengikut turutan bagi setiap kehamilan.

  • Pengecutan yang tetap, dimana ia biasanya bermula di bahagian bawah belakang dan kemudian bergerak ke hadapan abdomen anda.
    Pengecutan berlaku kerana rahim anda menegang dan berehat untuk membantu membuka pangkal rahim dan menolak bayi keluar menerusi saluran kelahiran. Di peringkat awal pelahiran, anda akan merasa seperti sakit ketika haid. Sesetengah wanita hanya mengalami pengecutan abdomen atau sakit belakang sahaja. Pengecutan pelahiran yang sebenar berlaku secara tetap. Ia biasanya bermula dengan selang masa selama 15-20 minit di antara satu pengecutan dengan yang lain dan berakhir selama 30-45 saat. Semakin lanjut proses pelahiran, pengecutan menjadi semakin kerap dan lebih lama, iaitu lebih kurang 60 saat. Rasa sakit pula tidak akan hilang walaupun anda berjalan-jalan atau berbaring.

    • Kesan/tanda merah jambu atau 'gumpalan' lendir
      Semasa bayi menolak ke arah pangkal rahim atau leher rahim, pangkal rahim akan membuka dan tanda berwarna merah jambu atau 'gumpalan' lendir akan terkeluar. Biasanya ia mengandungi sedikit darah.

  • Pancutan atau lelehan dari rahim

  • Lelehan air dari rahim menunjukkan pemecahan selaput atau "kantung air" yang mengelilingi bayi semasa kehamilan. Ia tidak akan menyebabkan rasa sakit; hanya seperti aliran air yang hangat. Anda boleh kehilangan lebih kurang satu kuart air, tetapi biasanya ia bergantung kepada bahagian mana di kantung yang pecah. Anda boleh kehilangan air ini secara berterusan kerana tubuh anda menghasilkannya secara berterusan. Kadangkala 'kantung air' ini akan pecah di awal proses pelahiran dan kadangkala ia berlaku di akhir peringkat pertama pelahiran.

    Hubungi doktor anda dengan segera apabila selaput atau 'kantung air' mula pecah atau apabila pengecutan menjadi tetap dengan selang masa 15 minit. Untuk anak pertama, doktor mungkin memberitahu anda supaya datang ke hospital apabila selang masa pengecutan rahim adalah 5 minit. Jangan risau jika anda terlewat. Peringkat pertama pelahiran biasanya mengambil masa lebih kurang 8-12 jam untuk bayi yang pertama. Secara amnya, jika anda telah mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak, tempoh proses pelahiran akan lebih pendek dari kelahiran yang pertama dahulu.

    Peringkat Pelahiran

    Pelahiran boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat. Semasa peringkat pertama, pangkal rahim akan membuka seluas yang mungkin untuk membolehkan bayi melaluinya. Peringkat kedua pula bermula apabila anda menolak bayi keluar daripada rahim ke dalam saluran kelahiran dan ia berakhir apabila bayi dilahirkan. Peringkat ketiga ialah apabila uri (selepas kelahiran) dikeluarkan. Keseluruhan proses pelahiran ini mengambil masa selama 12-14 jam untuk bayi yang pertama dan lebih kurang 7 jam untuk kelahiran bayi yang seterusnya.

    Peringkat Pertama:

    Semasa peringkat pertama pelahiran, anda akan kerap diperiksa untuk mengetahui perkembangan bukaan pangkal rahim. Ini dilakukan melalui pemeriksaan faraj. Doktor akan mengukur bukaan pangkal rahim di dalam ukuran sentimeter. Apabila pangkal rahim membuka pada tahap maksimum iaitu 9 -10 sentimeter, bukaan adalah cukup besar untuk bayi melaluinya. Peringkat pertama pula boleh dibahagikan kepada pelahiran awal dan pelahiran aktif:

    1. Pelahiran Awal:

    Semasa proses pelahiran awal, pangkal rahim akan mengembang dari 0 hingga 3 sentimeter. Inilah ketikanya anda mengalami tanda-tanda awal kelahiran seperti kesan lendir bercampur darah, kantung air (ketuban) memecah, dan corak pengecutan yang stabil. Semasa pelahiran awal, anda akan mengalami pengecutan selama lebih kurang 30-60 saat, setiap 5 - 20 minit sekali. Pengecutan ini mungkin bermula seperti Braxton-Hicks yang telah anda alami beberapa ketika ini, dan ia biasanya seperti ombak yang kecil.

    Apabila pengecutan anda berlaku setiap 5 minit untuk selama 1 jam, ia merupakan masa yang sesuai untuk menghubungi doktor anda. Melainkan beliau mencadangkan sebaliknya, atau air ketuban telah pecah, mungkin terlalu awal untuk anda pergi ke hospital. Biasanya peringkat ini mengambil masa yang agak panjang bagi kehamilan yang pertama; berbincanglah dengan doktor anda untuk memastikan masa yang betul-betul sesuai untuk pergi ke hospital, dengan mengambil kira jarak dan kesesakan lalu lintas yang mungkin berlaku. Perasaan anda pada saat ini mungkin bertukar-tukar dari gembira kepada takut, dan mungkin juga merasa lega.

    Sekarang adalah masa yang sesuai untuk merekodkan pengecutan anda; dari bermulanya satu pengecutan ke pengecutan yang berikutnya. Cuba bertenang. Walaupun anda terasa ingin mengemas seluruh rumah, cuba atasinya kerana anda memerlukan sepenuh tenaga untuk proses pelahiran. Jika di waktu malam, cuba tidur semula. Hubungi pasangan, jurulatih, atau sesiapa yang anda inginkan sebagai teman di hospital dan maklumkan apa yang sedang berlaku. Lebih baik sekiranya anda makan sajian yang ringan dalam kuantiti sedikit dan mengelakkan makanan berat bermula dari saat ini supaya saluran penghadaman anda tidak penuh dengan mekanan yang mungkin akan mengganggu proses pelahiran

    2. Kelahiran Aktif:

    Pada peringkat ini, bukaan pangkal rahim mungkin telah berkembang sehingga 4-6 sentimeter. Anda akan mengalami pengecutan yang lebih lama, kuat, dan lebih kerap. Ia akan bermula dari selang masa 1-3 minit, selama lebih kurang 60-75 saat. Walaupun lebih kurang sama seperti pengecutan pada pelahiran awal, ia akan menjadi semakin kuat dan sakit dengan cepat. Jururawat atau bidan mungkin akan bersama anda sepanjang proses ini. Bapa kepada bayi atau orang yang menemani anda dibenarkan menemani anda di dalam bilik bersalin jika dipersetujui oleh anda dan pihak hospital. Tumpukan perhatian untuk berehat seberapa banyak yang boleh. Semakin anda relaks, semakin kurang anda merencat pengecutan yang berlaku yang sedang bekerja keras untuk mengembangkan dan menipiskan bahagian pangkal rahim. Berjalan-jalan dan duduk dapat membantu anda.

    Elakkan dari berbaring terlentang terlalu lama. Jika anda perlu berada di atas katil, pastikan anda selalu mengalihkan posisi. Tarik nafas perlahan-lahan dan dalam-dalam seberapa lama yang boleh untuk menolong merehatkan anda. Untuk memastikan bayi berada dalam keadaan yang baik semasa proses pelahiran, doktor atau jururawat akan memeriksa denyutan jantung bayi, sama ada dengan menggunakan stetoskop atau dengan melalui pemantauan janin secara elektronik menerusi wayar yang di pasang di abdomen anda. Semasa pelahiran, proses pengecutan akan menyebabkan anda berasa tidak selesa. Anda boleh meminta ubat untuk meredakan kesakitan ini. Doktor akan memberi ubat yang paling sesuai di samping mengambil kira keadaan anda dan bayi di dalam kandungan. Analgesik merupakan ubat yang melegakan kesakitan dan pengecutan melalui suntikan.

    Peringkat Kedua

    Apabila pangkal rahim telah membuka dengan cukup besar, kepala bayi akan mula melaluinya. Jika air ketuban masih belum pecah, ia akan menyebabkan pancutan cecair dari faraj.

    Pada peringkat ini, bayi akan ditolak melalui pangkal rahim yang terbuka, menerusi faraj dan dilahirkan. Peringkat ini lebih singkat dari peringkat pertama, iaitu 1.5 jam untuk bayi pertama dan 30 minit atau kurang bagi anak yang seterusnya. Pengecutan ketika ini adalah dalam selang masa 2-3 minit dan berlanjutan selama 1 minit. Semasa bayi bergerak, sedikit demi sedikit melalui saluran kelahiran, ia akan mengenakan tekanan di rektum dan menyebabkan anda seperti hendak meneran najis. Doktor dan jururawat mungkin akan meminta anda melakukan teknik pernafasan yang khusus semasa meneran. Meneran selalunya akan melegakan sedikit ketidakselesaan dan memendekkan proses pelahiran.

    Namun adalah penting untuk tidak mula meneran sehinggalah doktor mengarahkan anda untuk melakukannya. Peringkat ini akan berlanjutan sehinggalah bayi dilahirkan dan mungkin mengambil masa selama 10 minit hingga 2 jam lamanya. Anda hendaklah berada dalam kedudukan meneran yang paling selesa dan efektif. Gunakan sepenuh tenaga untuk meneran dan rehat seketika di antara proses meneran itu. Ikut arahan doktor dan jururawat. Jika perlu, episiotomi mungkin dilakukan. Di akhir peringkat ini, bayi anda akan dilahirkan.

    Peringkat Ketiga

    Uri dan membran akan dikeluarkan melalui bukaan faraj. Ia biasanya berlaku dalam masa 5-30 minit selepas bayi dilahirkan.


    Gen, Kromosom dan DNA

    Gen merupakan unit pewarisan pada organisma hidup yang diturunkan daripada induk kepada zuriat. Setiap gen mempunyai lokasi tertentu dalam kromosom. Lokasi ini dikenali sebagai lokus. Gen mengawal pelbagai ciri atau trait dalam organisma hidup. Oleh itu, gen ialah berfungsi untuk kromosom. Bilangan gen dalam kromosom adalah tidak tetap dan bergantung kepada saiz kromosom. Setiap trait dikawal oleh sekurang – kurangnya satu gen. Gen disusun dalam satu baris di sepanjang kromosom seperti manik yang dirangkai pada benang.

    Kromosom ialah struktur berupa bebenang berpilin atau berlingkar yang membawa segala maklumat genetik dan terletak dalam nukleus. Semasa sel tidak membahagi, kromosom kelihatan seperti jalinan kromatin di dalam nukleus. Kromatin menebal semasa pembahagian sel. Kromosom hadir dalam pasangan homolog, iaitu kedua-dua ahlinya mempunyai panjang dan bilangan gen yang sama. Salah satu kromosom berasal daripada bapa dan satu lagi daripada ibu. Terdapat dua bahagian utama dalam kromosom iaitu protein dan asid deoksiribonukleik (DNA). Bahagian protein tidak membawa maklumat genetik. Bahan genetik pada kromosom ialah DNA. Oleh itu, molekul DNA memainkan peranan penting dalam pewarisan.

    Kromosom

    Terdapat dua jenis asid nukleik dalam sel, iaitu asid deoksiribonukleik (DNA) dan asid ribonukleik (RNA). Molekul DNA ialah polimer yang terdiri daripada unit asas yang disebut nukleotida. Unit – unit nukleotida bersambung untuk membentuk rantai panjang polinukleotida yang bercabang. Terdapat tiga bahagian dalam nukleotida iaitu, gula lima karbon (pentosa) yang disebut deoksiribosa, kumpulan fosfat dan bes bernitrogen. Bahagian gula deoksiribosa pada nukleotida bersambung kepada kumpulan fosfat dan bes bernitrogen. Ikatan di antara molekul gula deoksiribosa dan kumpulan fosfat yang bersebelahan secara berselang – seli akan membentuk tulang belakang rantai atau bebenang polinukleotida. Dalam DNA, gula lima karbon itu ialah deoksiribosa. Terdapat empat jenis bes bernitrogen dalam DNA, iaitu adenina dan guanina dalam kumpulan purin, timina dan sitosina dalam kumpulan primidin. Kumpulan bes bernitrogen pada dua rantai nukleotida yang bersebelahan akan bersambung untuk membentuk rantai ganda dua polinukleotida. Dua rantai polinukleotida dengan bes yang sepadan akan diikat bersama oleh ikatan hidrogen. Dua rantai polinukleotida yang terikat itu membelit seperti dua bebenang selari yang berpilih di antara satu sama lain untuk membentuk satu heliks ganda dua.



    Gen ialah unit pewarisan yang terkandung dalam kromosom. Gen sebenarnya merupakan sebahagian daripada molekul DNA. Maklumat genetik yang dibawa oleh gen terkandung dalam urutan bes disepanjang molekul DNA. Gen berfungsi mengekodkan sintesis enzim atau protein. Urutan nukleotida dalam segmen heliks DNA tertentu akan menentukan urutan asid amino dalam rantai polipeptida yang membina enzim atau protein. Enzim dan protein yang disintesis oleh suatu organisma bertanggungjawab untuk ciri yang terdapat dalam organisma hidup. Protein ialah bahan asas untuk membina kandungan sel dalam organisma sementara enzim berfungsi mengawal segala aktiviti atau tindak balas biokimia sel hidup. Oleh demikian, gen dikatakan mengawal aktiviti sel atau trait dalam organisma melalui penghasilan protein. Sesuatu gen boleh wujud dalam dua atau lebih bentuk tetapi satu sahaja hadir dalam setiap kromosom. Dua bentuk gen dinanakan alel. Alel ditempatkan pada lokus yang sama dalam sepasang kromosom. Salah satu alel menentukan ciri dominan dan satu lagi menentukan ciri resesif. Gen yang menentukan sesuatu trait terletak di lokus yang sama pada kromosom homolog.

    Asas Biologi

    Manusia

    Setiap organisma berupaya membiak bagi tujuan untuk mengekalkan zuriat. Proses penghasilan zuriat disebutkan pembiakan. Terdapat dua jenis pembiakan iaitu pembiakan seks dan pembiakan aseks. Pembiakan seks melibatkan dua organisma daripada spesies yang sama,iaitu organisma jantan dan organisma betina seperti perempuan dengan lelaki.Manusia menghasilkan zuriat yang mempunyai ciri yang sama atau bervariasi bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran yang kian berubah..Organisma jantan menghasilkan sel jantan sedangkan organisma betina menghasilkan sel betina. Melalui meiosis manusia, sel jantan menjadi gamet jantan yang dipanggil sperma dan sel betina menjadi gamet betina yang dikenal sebagai ovum. Sperma dan ovum adalah haploid, iaitu mempunyai separuh bilangan kromosom berbanding bilangan kromosom induknya. Semasa pembiakan seks, sperma (haploid) akan bersenyawa dengan ovum (haploid) untuk menghasilkan zigot.

    Pembiakan

    Merujuk rajah di atas, kita mengetahui bahawa gabungan sperma dengan ovum akan membentuk zigot, dan sperma yang dimiliki oleh bapa mempunyai dua jenis, iaitu sperma X dan sperma Y. Setelah sperma X bercantum dengan ovum, maka anak tersebut akan merupakan anak perempuan. Jikalau ialah sperma Y bercantum dengan ovum, maka anak tersebut akan merupakan anak lelaki.