Wednesday, March 14, 2007

Journal sebagai rujukan anda

RISIKO KELAHIRAN PRAMATANG SPONTAN DI WAD MATERNITI, HOSPITAL KUALA LUMPUR

(Faisal M., Kamarul A., Koh G.T., Norasmah A.M., Norazlina A.A., Nor Hisham M., Rozita M., Salmi R. dan Wan Azlan W.O.)

ABSTRAK


Satu kajian kes kawalan telah dijalankan untuk mengkaji faktor risiko kelahiran bayi pramatang spontan di kalangan kelahiran yang dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur dari 1 September 1994 ke 30 November 1994. Faktor risiko yang dikaji adalah umur ibu, berat ibu, pariti, jantina bayi, sejarah pendarahan antepartum dan sejarah keguguran. Seramai 84 kes kelahiran pramatang telah dipilih menurut kuota dari rekod materniti. Kawalan pula terdiri daripada kelahiran matang yang dipadankan mengikut bangsa. Hasil kajian menunjukkan faktor risiko yang bererti adalah berat ibu (nisbah ods 2.8, 95% selang keyakinan 1.1-7.1) dan sejarah perdarahan antepartum (nisbah ods 3.6, 95% selang keyakinan1.4-9.4). Hubungan faktor-faktor lain seperti umur ibu, pariti, jantina bayi dan sejarah kegugurandengan kelahiran pramatang spontan adalah tidak bererti dalam kajian ini.

Kata kunci : Kelahiran pramatang spontan, faktor risiko.

PENDAHULUAN


Kadar mortaliti perinatal adalah satu indikator penting mengambarkan efisiensi reproduktif dan kesihatan sesuatu populasi (National Population and Family Development Board, 1991). Di Malaysia, sejajar dengan kemajuan negara, kadar mortaliti perinatal telah menurun dari 23.8 per 1000 kelahiran hidup pada tahun 1981 kepada 12.3 per 1000 kelahiran hidup pada tahun 1991(National Population and Family Development Board, 1991). Walau bagaimanapun kelahiran pramatang boleh dikelaskan kepada kelahiran pramatang spontan, kelahiran induksi akibat komplikasi kesihatan ibu semasa mengandung atau ‘fetal distress’ dan kelahiran pramatang idiopatik (Sautz et al., 1991). Kemajuan dan kecanggihan dalam rawatan obstetrik dan neonatalogi telah dapat mengurangkan mortaliti dan morbiditi akibat kelahiran pramatang induksi. Berbanding mortaliti dan morbiditi perinatal akibat kelahiran pramatang induksi, kelahiran pramatang spontan dan kelahiran pramatang idiopatik masih berlaku. Tujuan utama kajian ini adalah untuk menentukan kekuatan faktor risiko kelahiran pramatang spontan khususnya dikalangan bayi di Malaysia.

METODOLOGI
Kajian ini adalah kajian yang mengkaji secara kasar faktor-faktor risiko kelahiran pramatang spontan. Kes dan kawalan diambil daripada kelahiran pesakit yang dimasukkan ke wad materniti Jabatan Obstetrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari 1 September 1994 sehingga 30 November 1994. Kes adalah kelahiran yang dikelaskan dalam rekod sebagai kelahiran pramatang spontan dan kontrol adalah kelahiran cukup bulan.


Kelahiran pramatang spontan ditakrifkan sebagai kelahiran spontan melalui vagina (spontaneous vaginal delivery) yang kurang daripada 37 minggu gestasi atau 259 hari (Denis & Main, 1988). Kelahiran cukup bulan pula adalah kelahiran yang menepati 37 minggu gestasi atau lebih. Tempoh gestasi dibuat berdasarkan tarikh haid terakhir atau pun melalui ultrasound. Pengecualian dilakukan ke atas kelahiran yang dulahirkan oleh pendatang asing seperti Bangladesh atau Indonesia, kelahiran akibat trauma, kelahiran induksi, kelahiran kembar dan kelahiran mati.


Sebanyak 115 kes kelahiran pramatang spontan telah dikenalpasti dari buku daftar pesakit di wad materniti dan dirujuk kepada Unit Rekod Jabatan Obstetrik, HKL. Pada masa yang sama, 115 kawalan juga dipilih dengan kaedah yang sama setelah dipadankan menurut bangsa. Setelah kes dan kawalan yang mempunyai faktor-faktor pengecualian dan kekurangan data ditolak, hanya 84 kes dan 84 kawalan telah digunakan dalam analisis.

Variabel bersandar dalam kajian kes-kawalan ini adalah status kelahiran samada kelahiran pramatang spontan atau kelahiran matang. Variabel tidak bersandar atau faktor risiko yang dikaji iaitu umur ibu, berat ibu, pariti, jantina bayi, sejarah perdarahan antepartum dan sejarah keguguran. Umur ibu dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu berumur <35>35 tahun. Berat ibu adalah berat ibu terbaru yang dicatatkan pada rekod pendaftaran. Berat ibu dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu yang berat kurang daripada 50kg (<50kg)>50kg).


Pariti didefinisikan sebagai bilangan anak termasuk anak yang dilahirkan pada kelahiran pramatang spontan atau kelahiran cukup bulan yang dikaji. Pariti dibahagi kepada 2 kumpulan iaitu yang mempunyai bilangan anak melebihi 5 orang (>5 orang) dan yang mempunyai bilangan anak lima orang atau kurang

Sejarah pendarahan antepartum ditakrifkan sebagai sejarah pendarahan dari vagina yang berlaku pada bila-bila masa selepas 28 minggu gestasi dan sebelum kelahiran bayi dikaji tanpa mengira sebab. Biasanya sebab-sebab pendarahan termasuklah abruptio placenta, placenta preavia, dan incidental placenta (Denis & Main, 1988).


Sejarah keguguran pula ditakrifkan sebagai penolakan keluar bahan konsepsi sebelum akhir minggu ke 28 gestasi pada kandungan yang lalu secara spontan atau induksi (Denis & Main, 1988).


Pengolahan data dilakukan secara manual dan dengan menggunakan komputer. Analisis deskriptif dan analitik dilakukan bagi mengkaji hubungan antara variabel-variabel. Nisbah ods dikira untuk menentukan risiko kelahiran pramatang berlaku pada kelahiran yang mempunyai risiko berbanding dengan kelahiran yang tidak mempunyai risiko. Anggaran risiko adalah berdasarkan selang keyakinan 95%keertian.

HASIL
Dalam tempoh kajian, 1 hb. September - 30hb, November 1994, terdapat 6419 kelahiran di HKL. Untuk tujuan kajian, 115 kelahiran pramatang spontan dari kawalan telah dikenalpasti secara kuota tetapi selepas mengambilkira faktor pengecualian dan maklumat lengkap, seramai 168 kelahiran (4.9%) telah diambil iaitu 84 kelahiran pramatang spontan (1.31%) dan 84 kelahiran matang sebagai kawalan.

Etnik
Dikalangan bayi pramatang spontan yang dikaji, majoriti adalah berbangsa Melayu, iaitu 61 kes (72.6%), diikuti oleh Cina 12 kes (14.3%), India 10 kes (11.9%) dan lain-lain 1 kes (1.2%). Oleh kerana kes dan kawalan dipadankan mengikut bangsa, maka populasi kawalan juga menunjukkan bilangan yang sama.

Umur Ibu
Dalam kajian ini, ibu kes dan kawalan masing-masing digolongan kepada 6 kumpulan umur iaitu 15-19 tahun, 20-24 tahun, 25-29 tahun, 30-34 tahun, 35-39 tahun, 40-44 tahun. Min umur ibu dengan kelahiran pramatang spontan ialah 27.3 tahun. Mod selang umur ialah antara 25-29 tahun iaitu seramai 65 orang ibu (32.1%) dan selang umur terendah ialah antara 15-19 dan 40-44 tahun iaitu masing-masing 3 orang ibu (3.6%). Min umur ibu kawalan ialah 25.4 tahun. Hasil kajian mendapati bahawa umur ibu bukan faktor risiko yang bererti mempunyai hubungan dengan kelahiran pramatang spontan (nisbah ods 0.9, 95% selang keyakinan 0.4-3.1)

Jantina bayi
Terdapat 41 bayi pramatang (48.8%) dan 43 bayi kawalan (51.2%) adalah lelaki. Daripada analisa kasar didapati bahawa jantina bayi bukan faktor risiko yang mempunyai hubungan bererti dengan kelahiran pramatang spontan (nisbah ods 0.9, 95% selang keyakinan 0.5-1.7)

Sejarah pendarahan antepartum (APH)
Didapati23 orang ibu dengan kelahiran pramatang spontan (27.4%) dan 8 orang ibu kawalan (9.5%) telah mengalami pendarahan antepartum. Analisa data menunjukkan bahawa pendarahan antepartum adalah faktor risiko yang bererti dengan nisbah ods sebanyak 3.6, selang keyakinan 95% adalah 1.4-9.4. Ini bermakna ibu bayi pramatang berisiko 3.6 kali ganda lebih tinggi mendapat perdarahan antepartum berbanding bayi normal.

Berat ibu
Kajian menunjukan bahawa 21 orang ibu dengan kelahiran pramatang spontan (25%) dan 9 orang ibu kawalan (10.7%) mempunyai berat sama atau kurang daripada 50 kg. Kajian ini menunjukan terdapat hubungan yang bererti antara berat ibu dan kelahiran pramatang spontan (nisbah ods 2.8, 95% selang keyakinan 1.1-7.1). Ini bermakna ibu yang beratnya sama atau kurang daripada 50 kg mempunyai risiko sebanyak 2.8 kali ganda untuk mendapat kelahiran pramatang spontan berbanding ibu yang mempunyai berat lebih daripada 50 kg ( Jadual 1).


Pariti
Jadual 1 menunjukkan 7 orang ibu kes (8.3 %) dan 9 orang ibu kawalan (10.7%) digolongkan sebagai ibu grand multipara. Walau bagaimanapun analisa data menunjukan tiada hubungan bererti antara pariti dengan kelahiran pramatang spontan (nisbah ods 0.8, 95% selang keyakinan 0.4 - 4.2% ).


Sejarah keguguran
Dikalangan kes 11 orang ibu (13.1 %) dan 12 orang ibu (14.3%) dikalangan kawalan mempunyai sejarah keguguran . Tiada hubungan sejarah keguguran dengan kelahiran pramatang (nisbah ods 0.9, selang keyakinan 0.3 – 2.4) (Jadual 1).




Petunjuk : APH - Perdarahan antepartum
ABT - Keguguran

PERBINCANGAN


Kajian mendapati bahawa perdarahan antepartum merupakan faktor terpenting berkaitan dengan kelahiran pramatang spontan. Didapati ibu yang melahirkan kelahiran pramatang spontan mempunyai risiko 4 kali lebih tinggi mengalami perdarahan antepartum berbanding ibu kawalan. Kajian menggunakan ‘path analysis’ oleh Chenoweth dan rakan-rakan (1983) menunjukkan pendarahan antepartum adalah faktor paling bererti bagi kelahiran pramatang spontan. Analisis ini digunakan untuk mengkaji hubungan antara variabel berdasarkan kepada analisis regresi berganda berturutan.

Antara penyebab-penyebab pendarahan antepartum adalah placenta previa, abruptio placenta, lesi di serviks dan vagina seperti polips dan karsinoma, dan idiopatik (Lewis & Chamberlain, 1993). Walau bagaimanapun kajian kami tidak mengkaji sebab-sebab pendarahan antepartum yang meningkatkan risiko kelahiran pramatang spontan. Patafisiologi faktor ini masih belum dapat dikenalpasti tetapi pendarahan mungkin menyebabkan tekanan ke atas fetus dan seterusnya ini meninggikan kandungan kortisol fetus. Kortisol mencetuskan penurunan kandungan progesteron dan meningkatkan kandungan prostaglandin yang akan memulakan proses kelahiran proses kelahiran spontan (Challis & Thorburn, 1975).

Berat ibu yang kurang daripada 50kg juga adalah faktor risiko yang bererti dalam kelahiran pramatang spontan. Ini sejajar dengan kajian-kajian yang telah dilakukan sebelum ini. Berat ibu dapat menggambarkan status pemakanan dan mencerminkan taraf sosio-ekonominya. Faktor ini penting kerana nisbah ods kelahiran pramatang spontan adalah 3 kali ganda lebih tinggi berbanding ibu yang mempunyai berat > 50 kg. Dengan kata lain faktor ini dapat dicegah jika status pemakanan ibu dipertingkatkan semasa mengandung.

Dalam kajian ini tidak terdapat hubungan bererti di antara grand multipariti dengan kelahiran pramatang spontan. Faktor pariti ini masih kurang jelas hubungannya kerana daripada kajian-kajian lepas terdapat kajian yang menyatakan hasil yang sebaliknya (Wen et al., 1990)(Shiono & Klebanoff, 1986). Maka kajian yang lebih terperinci perlu dilakukan dengan mengambil kira faktor-faktor yang berkaitan dengan pariti seperti umur ibu dan jarak antara kelahiran.

Umur ibu didapati bukanlah faktor risiko yang bererti di dalam kajian . Akan tetapi kajian oleh Talussum G dan rakan-rakan (1994) di Pakistan telah menunjukkan terdapat hubungan di antara umur ibu lebih daripada 35 tahun dengan kelahiran pramatang. Walau bagaimanapun kajian Chenoweth dan rakan-rakan(1983) di Brisbane, Australia telah menyangkal pendapat ini. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh pembahagian umur kepada dua kategori adalah kurang tepat kerana banyak kajian telah mendapati hubungan yang bererti di antara kelahiran pramatang spontan dengan umur kurang daripada 20 tahun (Chenoweth et al. 1983)(Challis & Thorburn 1975)(Fuchs et al. 1993).


Kajian kes ke atas jantina bayi dilahirkan tiada hubungan bererti antara jantina dan kelahiran pramatang spontan. Ini disokong oleh kajian David R dan rakan-rakan dan Cutter dan rakan-rakan. Dalam kajian Mall dan Carr pada tahun 1982 didapati bahawa bayi lelaki lebih cenderung dilahirkan secara pramatang berbanding dengan bayi perempuan.


Sejarah keguguran tidak berkaitan langsung dengan kelahiran pramatang spontan dalam kajian ini. Hasil ini disokong oleh kajian oleh Shiono dan rakan-rakan (1986). Dalam kajian tersebut keguguran spontan dan kelahiran secara induksi tidak menunjukkan hubungan yang bererti (Shiono & Klebanoff 1986). Ini bertentangan dengan kajian epidemiologi oleh Fedrik dan Anderson (1976) yang menunjukkan terdapatnya peningkatan insiden kelahiran pramatang spontan bagi ibu-ibu yang mempunyai sejarah keguguran. Kesimpulannya terdapat banyak percanggahan dalam kajian-kajian sebelumnya dan hubungan faktor risiko ini dengan kelahiran pramatang spontan masih tidak dapat digeneralisasi kepada semua populasi.


KESIMPULAN
Hasil kajian yang dijalankan mendapati berat ibu mengandung dan sejarah pendarahan antepartum mempunyai kaitan yang rapat dengan kelahiran pramatang spontan manakala umur ibu, jantina bayi, bilangan pariti dan sejarah keguguran tidak mempengaruhi prevalens kelahiran pramatang spontan secara bererti.

Sejajar dengan perkembangan negara dan peningkatan taraf kesihatan maka kadar mortaliti dan kadar morbiditi yang disebabkan oleh kelahiran bayi pramatang dapat dicegah dari berlaku. Dari kajian ini, faktor risiko kelahiran pramatang spontan adalah kurang berat ibu dan ini boleh dicegah atau dikurangkan dengan meningkatkan status pemakanan ibu mengandung bagi menambahkan berat ibu. Ini boleh dilakukan dengan memberi pendidikan kesihatan kepada ibu-ibu atau memberi makanan berzat seperti susu bagi mereka yang mempunyai masalah ekonomi. Selain itu, kajian perlu dilakukan bagi mencari faktor-faktor risiko pendarahan antepartum dan cara-cara rawatan dan pengurusan kes-kes sebegini. Ini sesuai dengan Eastman (1947) yang pernah mengatakan "sebarang langkah pencegahan hanya dapat dilakukan seandainya faktor-faktor penyebab yang jelas dapat diketahui" (Chenoweth et al. 1983).

BIBLIOGRAFI

Anderson, A.B. 1976. Factor Associated with Spontaneous Preterm Birth. Br J Obstet Gynaecol. 83:342-350


Challis, J.R. & Thorburn, G.C., 1975. Prenatal Endocrine Function and Initition of Paritition. Br Med Bull. 31:57-61


Chenoweth, J.N., Esler, E.J., Chang, A., Keeping, J.D. & Morrison J. 1983. Understanding Preterm Labour: The use of path analysis. Aust NZ J Obstet Gynaecol. 23: 199-202.


Denis, M. & Main, M.D. 1988. The Epidemiology of preterm birth. Clin Obstet Gynaecol. 3: 521


Fuchs, A., Fuchs, F. & Stubblefield, P.G. 1993. Preterm birth (2nd ed.) New York: Mc Graw Hill.
Lewis, T.L. & Chamberlain G.U. 1993. Obstetrics by Ten Teachers (5th ed). London; ELBS.


Mall, M.H. & Carr, H.K. 1982. Impact of Sex Ratio on Set and Management of Labour. Br. Med. J. 248:401-403


National Population and Family Development Board 1991. Development of Perinatal service Maternity Hospital Kuala Lumpur: 1-10


Sautz, D.A., Cheryl, A., John, M. 1991. Epidemiologic Characteristic of Preterm Delivery: Etiologic Heterogenesity. Am J Obstet Gynaecol. 2: 467-470.


Shiono, P.H. & Klebanoff, M.A. 1986. Ethnic Differences in Preterm and Very Preterm Delivery. AJPH. 76(11):1317-1319


Talussum, G., Karim, S.A., Khan, S. & Nam T.Y. 1994. Preterm Birth its Etiologi and Outcome. JPMA J Pak Med Assoc. 44(3):68-70.


Wen, S.W., Goldenberg, R.L., Cutter, G.R., Hoffman, H.J. & Cliver, S.P. 1990. Intrauterine Growth Retardation and Preterm Delivery: Prenatal Risk Factors in an Indigent Population. Am J Obstet Gynecol. 162:213-218


White, D.R., Hall, M.H., Campbell, D.M. 1986. The Etiology of Preterm Labour. Br J Obstet Gynaecol. 93:733-738

No comments: