Kromosom ialah struktur berupa bebenang berpilin atau berlingkar yang membawa segala maklumat genetik dan terletak dalam nukleus. Semasa sel tidak membahagi, kromosom kelihatan seperti jalinan kromatin di dalam nukleus. Kromatin menebal semasa pembahagian sel. Kromosom hadir dalam pasangan homolog, iaitu kedua-dua ahlinya mempunyai panjang dan bilangan gen yang sama. Salah satu kromosom berasal daripada bapa dan satu lagi daripada ibu. Terdapat dua bahagian utama dalam kromosom iaitu protein dan asid deoksiribonukleik (DNA). Bahagian protein tidak membawa maklumat genetik. Bahan genetik pada kromosom ialah DNA. Oleh itu, molekul DNA memainkan peranan penting dalam pewarisan.









